Hak Cipta © 2022, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
Malaysia
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
Dikuasakan oleh MyBIS
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

Hutan bandar tangani kesan rumah hijau di bandar
diterbitkan pada 23 September 2021

Ahmad Azaruddin Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Kawasan bandar merupakan penyumbang terbesar pembebasan gas karbon dioksida yang menjadi punca utama kesan rumah hijau, justeru adalah penting untuk mewujudkan hutan bandar bagi menangani masalah ini.

Ketua Program Eko Pelancongan dan Hutan Bandar, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Ahmad Azaruddin Mohd Noor berkata usaha pemuliharaan dan penanaman pokok melalui konsep hutan bandar, perlu sentiasa diteruskan dan diperluaskan termasuk di kawasan perumahan dan pembangunan baharu.

"Hutan bandar memainkan peranan dari segi ekologi dan fungsi dalam membina suasana alam sekitar yang bersih dan selesa, untuk kesejahteraan manusia dan hidupan lain di bandar. Selain itu, hutan bandar juga turut berperanan meningkatkan kualiti struktur dan reka bentuk kawasan bandar serta mempertingkatkan nilai estetik landskap bandar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hutan bandar adalah kawasan hijau yang menampung tumbuh-tumbuhan sama ada pokok sedia ada atau ditanam secara sistematik di persekitaran bandar, yang menyumbang kepada persekitaran hijau dan bersih, hidup yang sihat dan ceria serta menjadikan bandar tempat tinggal yang selesa.

Katanya hutan bandar membabitkan perancangan dan pengurusan yang merangkumi penanaman pokok yang sesuai di tapak yang sesuai dan tidak memerlukan keluasan tanah yang spesifik, kerana yang penting adalah ruang untuk menanam pokok.

"Bagi menjamin kesesuaian penyediaan hutan bandar di sesuatu kawasan, pihak FRIM menawarkan khidmat nasihat, perundingan dan latihan berkaitan pengurusan serta penjagaan pokok kepada mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Azaruddin berkata FRIM memiliki kepakaran termasuk ahli arboris yang bertauliah bagi tujuan memberi khidmat nasihat berkaitan pemilihan dan penanaman pokok, kaedah penjagaan mengikut amalan baik arborikultur serta penilaian risiko pokok.

“Sebelum ini banyak pokok eksotik luar negara dibawa masuk sebagai pokok hiasan landskap atau pokok teduhan, namun dalam usaha membawa pokok hutan ke dalam kawasan bandar pelbagai spesis tempatan boleh diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata penanaman hutan bandar dengan spesis tempatan seperti Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Jelutong, Damar minyak, Gelam, Pelawan, Geronggang, Kelat, Perupok dan Kayu Arang, sekali gus dapat mempromosikan kepentingan dan keunikan pokok hutan kepada masyarakat.

Katanya ciri-ciri pokok yang ditanam bukan sahaja perlu dipilih daripada spesis yang sesuai, berupaya untuk tumbuh di persekitaran bandar yang kurang kondusif, malah pokok yang ditanam perlu diurus agar tidak mendatangkan risiko kepada orang ramai.

"Selain itu, pokok yang ditanam juga boleh menarik kehadiran hidupan liar seperti burung, serangga dan mamalia kecil, bagi mencipta suasana hutan di bandar," katanya.

Ahmad Azaruddin berkata, pokok hutan yang ditanam boleh dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar, mahupun orang ramai yang berminat untuk mengetahui khazanah hutan negara.

"Mereka dapat mengenali spesis pokok hutan yang wujud di negara ini yang merupakan antara negara yang mempunyai kepelbagaian spesis paling tinggi di dunia.

"Pokok hutan kita juga mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dihayati dan hutan bandar mampu memberi peluang kepada penanaman pokok hutan daripada spesis hampir pupus atau spesis yang jarang dijumpai sebagai usaha pemuliharaan secara ex situ," katanya.

Beliau berkata lazimnya pengurusan dan penjagaan kawasan hutan bandar dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT), bertujuan memelihara dan meningkatkan kualiti alam semulajadi serta menyediakan kemudahan rekreasi kepada warga bandar khususnya.

Katanya mewujudkan kawasan hijau bandar kini bukan sahaja tanggungjawab PBT, tetapi juga komuniti bandar dan pihak swasta turut digalakkan menanam lebih banyak pokok di premis masing-masing.

"Sumber yang terhad ini amat penting untuk dilindungi dan dikekalkan supaya faedah dan peranannya dapat dinikmati sehingga generasi akan datang," katanya.

Sumber: BERNAMA

Dasar Perhutanan Malaysia
Dasar ini akan merangkumi pengurusan hutan secara berkekalan, pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian biologi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, mengaplikasi teknologi perhutanan terkini, memperkasa penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian maklumat.
ISBN 9789670250403   •   Kementerian Tenaga dan Sumber Asli   •   2021
Penghijauan Malaysia
Muat turun aplikasi peranti mudah alih Penghijauan Malaysia. Daftar pokok yang ditanam, kumpul lencana (badges) dengan laksanakan tugasan (task), dapatkan mata ganjaran (points) dan nikmati ganjaran (rewards) yang ditawarkan.
Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tidak akan bertanggungjawab diatas maklumat yang diperolehi dari laman-laman pihak ketiga yang tidak ada perjanjian kerjasama dengan pihak kami.
Paparan terbaik melalui Mozila Firefox, Google Chrome atau Microsoft Edge terkini dengan resolusi 1024px x 768px dan ke atas. Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh diemailkan ke hello@100jutapokok.gov.my