Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato' Dr Ismail Parlan telah menanam pokok ke-100,000 FRIM bawah Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, pada 4 Oktober 2025 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-40 FRIM.
Majlis penanaman ini diadakan pada Hari Terbuka FRIM yang berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung ke kampus utama dan Taman Botani Kepong FRIM.
Penanaman simbolik melibatkan spesies jelutong (Dyera costulata) ini disempurnakan oleh Ismail bersama-sama anggota Institut FRIM termasuk Dato' Razali Mohamad (Kementerian Perladangan dan Komoditi, KPK), Dr Ahmad Aldrie Amir (Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM), serta Ts. Farydatul Nazly Mohd Zin (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, MTIB).
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan FRIM dalam menyokong usaha penghijauan negara, di samping memperkukuh pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti.
Turut hadir memeriahkan majlis, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, mantan Ketua Pengarah FRIM; Dr Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan); Mahmudin Saleh, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi); serta Noorazimah Sarkom, Pengarah Pembangunan dan Perdagangan MTIB.
Sepanjang program Hari Terbuka FRIM, para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan FRIMazing Race, lawatan ke denai alam dan Jejantas Rimba (Forest Skywalk), pameran penyelidikan, demonstrasi teknologi terkini, sesi 'Pocket Talk', serta lawatan berpandu ke makmal penyelidikan FRIM.
Sumber: FRIM
hello100jutapokok@nres.gov.my