Seramai 40 warga kerja Kein Hing Industry Sdn. Bhd. telah menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui aktiviti penanaman pokok di Bukit Hari, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada 20 September 2025.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Maria Arlene Jackan, Pegawai Perhubungan Awam FRIM yang turut berkongsi secara ringkas mengenai sejarah FRIM sebagai hutan buatan manusia hasil usaha penghutanan semula yang kini diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO.
Seterusnya, Mohd Ramly Mohd Saleh, Penolong Pengurus Taman/ Ladang FRIM, memberikan taklimat keselamatan serta demonstrasi teknik penanaman pokok yang betul.
Sebanyak 40 pokok daripada enam spesies ditanam iaitu meranti temak nipis (Anthoshorea roxburghii), sepetir daun tebal (Sindora wallichii), keruing bulu (Dipterocarpus baudii), balau pasir (Shorea materialis), meranti rambai daun (Rubroshorea acuminata) dan meranti seraya (R. curtisii).
Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh Lim Yen Ying, Eksekutif, Environmental, Safety & Health, and Governance (ESG) Department, Kein Hing Industry yang menekankan kepentingan usaha penanaman pokok serta memperkukuh komitmen berterusan dalam memelihara dan memastikan kelestarian alam sekitar dalam kalangan kakitangan syarikat.
Sumber: FRIM
hello100jutapokok@nres.gov.my