Tokio Marine Insurance (Malaysia) Berhad sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar melalui penyertaan dalam program CSR 'Eco Roots Initiative' di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada 5 Julai 2025. Ini merupakan kali kedua syarikat tersebut melaksanakan program CSR bersama FRIM selepas aktiviti penanaman pokok pada 2023.
Maria Arlene Jackan, Pegawai Perhubungan Awam FRIM menyampaikan ucapan alu-aluan dan taklimat mengenai sejarah serta peranan FRIM dalam penyelidikan hutan dan pemuliharaan alam sekitar sejak penubuhannya kepada 40 peserta syarikat tersebut.
Ng Hang Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine seterusnya menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan keterlibatan badan korporat dalam menyokong agenda kelestarian negara.
Taklimat mengenai teknik penyemaian dan penghasilan anak pokok berkualiti disampaikan oleh Dr Siti Salwana Hashim, Ketua Cawangan Tapak Semaian Utama (TSU), FRIM. Warga syarikat tersebut bukan sahaja diberi penerangan teori, malah turut terlibat secara langsung dalam penyediaan tanah, penyemaian anak pokok dan mempelajari kaedah penjagaan anak pokok yang betul.
Mereka juga mengutip anak-anak pokok belian (Eusideroxylon zwageri), salah satu spesies kayu keras tropika yang bernilai tinggi pada sesi yang dikendalikan oleh Nurzayanah Adilah Mohd Zain bersama pasukan urus setia CSR FRIM di TSU.
Setiap peserta turut menerima anak pokok kasai (Pometia pinnata) untuk ditanam dan dijaga di kediaman masing-masing bagi menyumbang kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Program diakhiri dengan lawatan berpandu menyusuri denai alam FRIM untuk melihat fenomena unik malu-malu silara (crown shyness), salah satu tarikan ikonik FRIM.
Sumber: FRIM
hello100jutapokok@nres.gov.my