Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Majlis Kayu Kayan (MTC) dan Sekolah Kebangsaan Pandan Jaya (SKPJ) telah mengadakan aktiviti penanaman pokok pada 9 September 2024 di kawasan sekolah tersebut bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Aktiviti ini dirasmikan oleh Dato' Zahari Ibrahim, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia. Turut hadir, Noraihan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MTC; Baharuddin Yassir, Penolong Kanan Pentadbiran SKPJ; dan Mohd Fadzli Abu Bakar, Tmbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.
Bethany Ruth Mai Rowland Reggie, Penolong Pegawai (Pemuliharaan Hutan) JPSM menyampaikan taklimat berkenaan kepentingan hutan dan pengurusan hutan secara mampan.
Seramai 180 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru, staf MTC serta JPSM menanam 100 pokok yang terdiri daripada spesies kenanga (Cananga odorata), jenjarum (Ixora sp.), kemuning (Murraya paniculata), kari (M. koenigii) kelat paya (Syzygium myrtifolium), limau nipis (Citrus aurantifolia), limau kasturi (C. microcarpa) dan mahkota dewa (Phaleria Macrocarpa).
Sumber: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
hello100jutapokok@nres.gov.my