Pada 8 Mei 2025, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dan Gadang Engineering (M) Sdn Bhd (Gadang Engineering) telah mengadakan aktiviti penanaman 600 pokok bakau di Hutan Simpan (HS) Tanjung Burung, Perak.
Program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Gadang Engineering sebagai komitmen dalam menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar khususnya kawasan hutan paya bakau.
Turut hadir, Abdul Rizal Abdul Rahim, Pengarah Eksekutif Gadang Engineering; Muhamad Hafni Ahmad Saraji, Ketua Seksyen (Perhutanan Tani dan Penghutanan Semula) JPSM; dan Edevaldo J Yapp, Ketua Penolong Pengarah (Silvikultur & Kepelbagaian Biologi) JPNPk.
Mohamad Nor Adhzre Mustam, Pengawas Hutan JPNPk memberi taklimat penanaman dan pengurusan pokok bakau kepada 35 peserta yang terdiri daripada staf Gadang Engineering, jabatan perhutanan dan komuniti Pengkalan Baru Pantai Remis. Seterusnya, para peserta menanam pokok bakau minyak (Rhizophora apiculata) dan bakau kurap (R. mucronata).
Program ini meneruskan kerjasama strategik antara JPSM dan Gadang Engineering dalam usaha memperkukuh kelestarian hutan negara melalui aktiviti penghijauan serta pemuliharaan hutan paya bakau.
Sumber: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia
hello100jutapokok@nres.gov.my