Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM) telah menyumbangkan 300 pokok nadir kepada Jabatan Belia dan Sukan sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan pada 24-26 Mei 2024 di Dataran Pahlawan, Melaka.
Pokok-pokok ini diagihkan kepada para pengunjung untuk mempromosikan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok serta menyemai kesedaran tentang pemuliharaan hutan dan meningkatkan minat masyarakat terhadap alam sekitar.
Sambutan HBN dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Antara spesies pokok yang diedarkan, rambai (Baccaurea motleyana), sepam (Mangifera quadrifida), beruas (Garcinia hombroniana) dan keladan (Dryobalanops oblongifolia).
Selain menyertai pameran, JPNM turut mengadakan sesi 'Forest Talks', yang menyampaikan pelbagai topik menarik termasuk tatacara pengecaman pokok hutan, kepentingan kemandirian hutan, serta pengenalan kepada tumbuhan herba.
JPNM berharap aktiviti ini dapat memberi inspirasi kepada golongan belia untuk terus memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar demi masa depan yang lebih hijau dan lestari.
Sumber: Jabatan Perhutanan Negeri Melaka
hello100jutapokok@nres.gov.my