Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) telah menjalankan aktiviti penanaman pokok di kampusnya di Tangkak, Johor pada 21 Februari 2025 bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Program ini diketuai oleh Azyyati Jantan, Pengarah KMJ, dan melibatkan penyertaan 40 pelajar dan pensyarah.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menyumbang sebanyak 27 pokok terdiri daripada spesies salam (Syzygium polyanthum), tenggek burung (Euodia ridleyi), kelat paya (Syzygium myrtifolium), kemuning (Murraya paniculata), buah keras (Aleurites moluccanus) dan putat (Barringtonia racemosa).
Dalam ucapannya, Azyyati menegaskan bahawa program ini bertujuan menghijaukan dan menceriakan persekitaran kolej serta menyemai suasana pembelajaran tidak formal berkaitan biodiversiti flora di Malaysia.
Turut hadir, Liza Ismail, Pengarah Sumber Manusia FRIM; dan Ahmad Azaruddin Mohd Noor, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar.
Liza menyatakan bahawa program ini mengeratkan kerjasama antara KMJ dan FRIM dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kesedaran pemuliharaan dalam kalangan staf KMJ khususnya Kelab Biologi KMJ.
Ahmad Azaruddin turut menyampaikan taklimat mengenai kepelbagaian spesies pokok, kepentingannya serta teknik penanaman yang betul.
Sumber: FRIM

hello100jutapokok@nres.gov.my