Yayasan Hijau Malaysia (YHM) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjalankan aktiviti restorasi hutan dengan menanam 600 pokok merbau (Intsia palembanica) di Kompartmen 46, Hutan Simpanan Kekal (HSK) Lentang, Bentong, Pahang pada 19 Disember 2024.
Aktiviti tersebut melibatkan 40 sukarelawan MRL bersama komuniti Orang Asli Kampung Hulu Chemperoh, Janda Baik. Usaha ini bertujuan memulihkan ekosistem hutan, memelihara biodiversiti serta menyumbang kepada Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Turut hadir, Nor Zaidi Jusoh, Timbalan Pengarah Pembangunan Hutan JPNP; Dato' Sri Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif MRL; Dr Rafidah Rashid, Ketua Pengurusan Projek YHM; dan Ir. Ts. Noor Azlan Salleh, Pengarah Projek MRL.
Anak-anak pokok yang ditanam merupakan hasil Program 'Buy Back Guarantee' yang ditaja oleh MRL. Dalam program ini, komuniti Orang Asli dibekalkan dengan kelengkapan tapak semaian, peralatan berkebun dan diberi latihan teknik semaian. Anak-anak pokok yang dihasilkan pula dijual balik kepada JPNP.
Kolaborasi ini menjadi langkah penting dalam usaha pemulihan hutan terjejas serta memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Sumber: Yayasan Hijau Malaysia

hello100jutapokok@nres.gov.my