Gelam (Melaleuca cajuputi) merupakan sejenis tumbuhan bersaiz sederhana daripada famili Myrtaceae. Taburan spesies tersebut meluas, meliputi Utara Australia, Kepulauan New Guinea dan Asia Tenggara.
Gelam hidup subur di kawasan beriklim tropika dan beradaptasi baik di kawasan rendah nutrien seperti kawasan tanah bencah pesisir pantai di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Minyak pati gelum yang diekstrak daripada daun, bunga, batang dan kulit kayu didapati mempunyai khasiat perubatan bagi penyakit kulit, gigitan serangga, demam, sakit otot dan sendi, jangkitan kuman serta membantu meningkatkan peredaran darah.
Di Indonesia pula, minyak ini digunakan secara luaran untuk rawatan kulit terbakar, luka pada kulit, sakit telinga, sakit kepala dan sakit gigi manakala minyak daun gelam digunakan dalam rawatan penyakit gout di Myanmar serta digunakan secara tradisional bagi rawatan lelah di Filipina.
Ekstrak pokok gelam juga didapati mempunyai nilai perubatan seperti antiviral, insektisid (racun serangga), antioksidan, antibakteria dan antifilarial. Hasil kajian turut mendapati ia tidak toksik terhadap sistem reproduktif dan fungsi ginjal.
Manfaat penggunaan gelam dalam merawat penyakit telah menarik minat para penyelidik untuk mengkaji dengan lebih mendalam ciri-ciri perubatan yang terdapat pada setiap bahagian tumbuhan yang digunakan serta aspek saintifik lain berkaitan keberkesanan dan keselamatan.
Info: Mazura Md Pisar, Program Bioaktiviti, Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM
Gambar: Mazura Md Pisar dan Tan Ai Lee
Rujukan
- Abu Bakar, A., Sulaiman, S., Omar, B. & Mat Ali, R. (2012). Evaluation of Melaleuca cajuputi (Family: Myrtaceae) essential oil in aerosol spray cans against dengue vectors in low cost housing flats. J Arthropod Borne Dis 6 (1), 28-35
- Al-Abd, NM, Nor, Z. M., Marzida, M, Hasan, MS & Mustafa, K (2016). Antifilarial and antibiotic activities of methanolic extracts of Melaleuca cajuputi flowers. Korean J Parasitol 54 (3), 273-280
- Sakasegawa, M, Hori, K & Yatagai, M (2003). Composition and antitermite activities of essential oils from Melaleuca species. J. Wood Sci 49, 181-187
- Silva, CJ, Barbosa, LCA, Maltha, CRA, Pinheiro, AL & Ismail, Fyaz (2007). Comparative study of the essential oils of seven Melaleuca (Myrtaceae) species grown in Brazil. Flavour and Fragrance J 22 (6), 474-478

hello100jutapokok@nres.gov.my