Yayasan Axiata bersama Kumpulan edotco menyasarkan penanaman 3,400 pokok di empat (4) kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia melalui Program Inisiatif Penghutanan Semula yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Empat (4) HSK yang terlibat ialah Hutan Simpan (HS) Chini, Pahang; HS Pedu, Kedah; HS Bukit Hantu, Johor dan HS Bukit Nanas, Kuala Lumpur (KL).
Program Inisiatif Penghutanan Semula dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPSM, Dato' Zahari Ibrahim pada 31 Oktober 2022 di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, HS Bukit Nanas.
Inisiatif ini juga merupakan satu usaha pihak berkenaan dalam menyokong Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.
Sebagai permulaan, 120 pokok ditanam di kawasan HS Bukit Nanas pada majlis tersebut oleh para tetamu jemputan serta lebih 20 sukarelawan daripada Axiata Cares Volunteers dan edotco Rangers.
Pokok-pokok yang ditanam terdiri daripada spesies hutan termasuk merbau (Intsia palembanica), balau (Shorea sp.) dan nyatoh taban merah (Palaquium gutta).
Majlis turut dihadiri Pengerusi Kumpulan edotco, Datuk Dr. Nik Ramlah Nik Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kumpulan edotco, Mohamed Adlan Ahmad Tajudin; KPE Yayasan Axiata, Kamal Nawawi; KPE YHM, Amin Abdullah serta wakil-wakil daripada FatHopes Energy dan UN Global Compact.
Melalui inisiatif ini juga, pihak Yayasan Axiata dan Kumpulan edotco akan menaja kos penyelenggaraan pokok-pokok yang akan ditanam bagi tempoh lima (5) tahun dengan jumlah penajaan sebanyak RM1.198 juta.
Sehingga 30 Oktober 2022, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah merekodkan penanaman sebanyak 52.97 juta pokok yang merangkumi lebih seribu spesies. Pencapaian ini bersamaan dengan 53% daripada sasaran 100 juta pokok yang perlu dicapai dalam tempoh lima (5) tahun sehingga 2025.
Sumber: Yayasan Hijau Malaysia

hello100jutapokok@nres.gov.my