Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) dan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia telah melancarkan kempen ikrar the Queen's Green Canopy (QGC) dalam menyokong Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 20 Oktober 2022 di Kuala Lumpur.
Kempen ini menyeru syarikat korporat untuk menyatakan pendirian mereka mendepani kesan perubahan iklim dengan berikrar untuk menanam 70 pokok bagi setiap syarikat. Inisiatif tersebut juga diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-70 Jubli Platinum Ratu Elizabeth II.
Majlis ini dihadiri KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Charles Hay MVO; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Operasi dan Teknikal), Dato' Mohd Rahim Rani; Pengarah Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Hafiz Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) BMCC, Jennifer Lopez dan KPE Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Amin Abdullah.
Tengku Hassanal yang merupakan ikon generasi muda juga memberi inspirasi kepada sektor perindustrian Malaysia untuk bersama dalam menangani krisis perubahan iklim.
YHM akan menyelaraskan aktiviti penanaman pokok bakau di Hutan Simpan Tanjung Burung, Perak bagi syarikat-syarikat yang menandatangani ikrar di bawah kempen QGC ini.
Syarikat korporat dan individu yang mengambil bahagian layak mendapat pengecualian cukai sebanyak 10% daripada pendapatan tahunan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi kategori Pembangunan Teknologi Hijau dan Pemuliharaan Alam Sekitar.
Sumber: Yayasan Hijau Malaysia

hello100jutapokok@nres.gov.my