Hak Cipta © 2022, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
Malaysia
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
Dikuasakan oleh MyBIS
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

Memupuk minat, hobi menanam pokok
diterbitkan pada 23 August 2021

KUALA LUMPUR, 23 Ogos -- Bermacam cara boleh dilakukan dalam menyahut dan menyumbang tenaga bagi menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Kempen hingga 2025 itu merupakan usaha KeTSA dalam melaksanakan Program Penghijauan Malaysia, menggalakkan orang ramai untuk menanam pokok bagi menghijaukan bumi sekali gus mengurangkan masalah pemanasan global.

Ketua Cawangan Tapak Semaian Bioteknologi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Siti Salwana Hashim berkata aktiviti menanam pokok boleh dimulakan dengan sesuatu yang ringkas bagi mereka yang baru memulakan langkah dan berminat.

Beliau berkata antara masalah yang membelenggu mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi itu adalah cara pemilihan pokok yang betul.

"Cari pokok yang mudah tumbuh terlebih dahulu seperti sayur-sayuran. Apabila semakin mahir, boleh menanam jenis pokok lain seperti pokok hiasan atau pokok buah-buahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Salwana berkata elakkan menanam pokok yang tidak sesuai dengan persekitaran kediaman supaya tidak mengganggu orang lain dan pokok yang berbahaya kepada anak anak kecil seperti pokok beracun, bergetah atau berduri.

Beliau berkata menanam pokok boleh dilakukan di ruang terhad walaupun tidak mempunyai kawasan bertanah dengan pokok ditanam di dalam pasu dan polibeg.

Katanya, pelbagai barangan terbuang juga boleh dikitar semula dan diubah suai mengikut kreativiti bagi dijadikan bekas menanam pokok.

"Bahan terbuang seperti botol air mineral, botol minyak masak dan tin susu boleh digunakan semula sebagai bekas tanaman pokok bunga dan sayur-sayuran. Penggunaan bahan kitar semula itu dianggap kaedah paling sesuai untuk bercucuk tanam terutama di kawasan kediaman yang memiliki ruang terhad.

"Oleh itu, tiada alasan kediaman tidak bertanah tidak boleh menanam pokok. Selain menikmati hasil tuaian, kita juga dapat mengindahkan persekitaran dan paling utama dapat menambah bekalan oksigen serta menyejukkan bumi kita," katanya.

Siti Salwana berkata sebelum memulakan proses penanaman, ilmu menyemai pokok tersebut perlu diambil tahu termasuk biji benih dan tanah berkualiti yang perlu digunakan untuk membantu kesuburan pokok berkenaan.

Beliau berkata penyediaannya boleh dilakukan sendiri menggunakan formula lazim dan bersesuaian untuk pelbagai jenis tanaman termasuk sayur, buah-buahan dan bunga iaitu tanah, bahan organik dan pasir menggunakan nisbah masing-masing 3:2:1.

"Apa yang penting dalam penjagaan tanaman adalah air yang cukup, pencahayaan dan baja. Sekarang ini banyak perkongsian melalui media sosial mengenai cara menanam dan menjaga pokok malah anda boleh bertanya kepada mereka yang pakar untuk panduan.

"Pihak FRIM turut memberi sokongan kepada mereka yang berminat untuk menanam pokok dengan memberi khidmat nasihat pakar seperti mengenal pasti spesies, penyediaan tapak, teknik penanaman, pengurusan tapak semaian dan penjagaan pokok," katanya.

Beliau berkata melihat pokok-pokok yang menghijau dapat menjadi sumber ketenangan dan membantu individu menangani tekanan.

Siti Salwana berkata ketenangan dan kepuasan itu adalah ganjaran selepas mengerah kudrat menanam pokok yang penanamnya mungkin pada awalnya berpendapat mustahil untuk dilakukan.

"Cuba anda tanamkan sifat suka menanam pokok, apa jenis sekali pun dan jadikan ia hobi. Bagi ibu bapa, mereka boleh mendidik anak-anak untuk menanam pokok dengan mengajak bersama-sama melakukan aktiviti berkenaan," katanya.

Sumber: BERNAMA

Dasar Perhutanan Malaysia
Dasar ini akan merangkumi pengurusan hutan secara berkekalan, pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian biologi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, mengaplikasi teknologi perhutanan terkini, memperkasa penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian maklumat.
ISBN 9789670250403   •   Kementerian Tenaga dan Sumber Asli   •   2021
Penghijauan Malaysia
Muat turun aplikasi peranti mudah alih Penghijauan Malaysia. Daftar pokok yang ditanam, kumpul lencana (badges) dengan laksanakan tugasan (task), dapatkan mata ganjaran (points) dan nikmati ganjaran (rewards) yang ditawarkan.
Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tidak akan bertanggungjawab diatas maklumat yang diperolehi dari laman-laman pihak ketiga yang tidak ada perjanjian kerjasama dengan pihak kami.
Paparan terbaik melalui Mozila Firefox, Google Chrome atau Microsoft Edge terkini dengan resolusi 1024px x 768px dan ke atas. Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh diemailkan ke hello@100jutapokok.gov.my