Hak Cipta © 2022, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
Malaysia
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
Dikuasakan oleh MyBIS
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

ANGKASA, UKM, YHM lancar Koperasi Prihatin Sejuta Pokok
diterbitkan pada 20 March 2022

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan kerjasama Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) telah menganjurkan Program Koperasi Prihatin Sejuta Pokok yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun mulai tahun ini.

Program ini diadakan bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang diraikan di seluruh dunia pada tanggal 21 Mac setiap tahun.

Majlis Pra Pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok ini disempurnakan oleh Penasihat PUSPANITA Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang juga penaung program, Puan Sri Prof. Dr Aishah Salleh pada 20 Mac 2022 di Tapak Hutan Angkat ANGKASA, Hutan Simpan Sungai Lalang, Hulu Langat, Selangor.

Aishah, dalam ucapannya menggesa masyarakat khususnya 7.1 juta anggota koperasi di seluruh Malaysia untuk mula menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok hari ini sekaligus menyokong usaha yang dilakukan ANGKASA.

Katanya, program yang dijalankan ini merupakan sesuatu yang harus dipuji kerana menunjukkan kesungguhan dalam usaha pemulihan hutan terosot dan penggalakan penanaman pokok.

Usaha penanaman semula pokok, pengekalan hutan dan penghutanan semula (reforestation) merupakan salah satu langkah untuk menangani kesan perubahan iklim dan secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko bencana alam.

Beliau juga menanam pokok merbau, pokok kebangsaan Malaysia, yang ke-100 sebagai simbolik acara sempena sambutan 100 tahun gerakan koperasi Malaysia dalam meningkatkan sosio-ekonomi rakyat dan membangun Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata ANGKASA menggerakkan inisiatif penanaman sejuta pokok bagi menterjemah prinsip koperasi iaitu "Mengambil berat terhadap masyarakat".

Melalui program ini, ANGKASA sebagai badan apeks koperasi negara yang diiktiraf kerajaan mahu penglibatan jitu dan usaha kolektif 14,657 buah koperasi melaksanakan usaha penanaman pokok secara berterusan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) 2030 yang melengkapi keperluan sosial, ekonomi, pendidikan, kestabilan politik dan keprihatinan terhadap alam sekitar.

Sebagai permulaan, ANGKASA menjadikan tapak Hutan Simpan Sungai Lalang yang berkeluasan 0.5 hektar yang terosot sebagai hutan angkat koperasi dengan menanam 312 pokok hutan daripada sembilan spesies seperti merbau (Intsia palembanica), meranti batu (Shorea dasyphylla), giam lintah bukit (Hopea helferi), keruing bulu (Dipterocarpus baudii), merawan siput jantan (Hopea odorata), nyatoh taban merah (Palaquium gutta), penaga lilin (Mesua ferrea), pelong beludu (Pentaspadon velutinus) dan perah (Elateriospermum tapos).

Turut hadir, ADUN Semenyih, YB Tuan Zakaria Hanafi; Ketua Setiausaha MEDAC, Dato' Suriani Dato' Ahmad; Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, Prof. Madya Dr Zaini Sakawi; Ketua Bahagian Pengurusan Projek YHM, Dr Rafidah Rashid; Pegawai Perhutanan Daerah, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Siti Syafiqah Yusof; Barisan Anggota Lembaga Angkasa yang terdiri daripada Dr Mohd Azlan Yahya, Dato' Che Mohd Shukree Che Isa dan Dr Salmah Ishak; serta Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim.

Dasar Perhutanan Malaysia
Dasar ini akan merangkumi pengurusan hutan secara berkekalan, pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian biologi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, mengaplikasi teknologi perhutanan terkini, memperkasa penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian maklumat.
ISBN 9789670250403   •   Kementerian Tenaga dan Sumber Asli   •   2021
Penghijauan Malaysia
Muat turun aplikasi peranti mudah alih Penghijauan Malaysia. Daftar pokok yang ditanam, kumpul lencana (badges) dengan laksanakan tugasan (task), dapatkan mata ganjaran (points) dan nikmati ganjaran (rewards) yang ditawarkan.
Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tidak akan bertanggungjawab diatas maklumat yang diperolehi dari laman-laman pihak ketiga yang tidak ada perjanjian kerjasama dengan pihak kami.
Paparan terbaik melalui Mozila Firefox, Google Chrome atau Microsoft Edge terkini dengan resolusi 1024px x 768px dan ke atas. Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh diemailkan ke hello@100jutapokok.gov.my