Pokok Gelam atau dikenali juga dengan nama pokok kayu putih atau nama saintifiknya Melaleuca cajuputi dari famili Myrtaceae merupakan pokok yang mengeluarkan sumber minyak perubatan dipanggil minyak cajuput atau minyak kayu putih. Pokok gelam boleh didapati tumbuh meliar di kawasan terbiar dan berpaya di seluruh Semenanjung Malaysia.
Pokok gelam boleh mencapai ketinggian sehingga 15-20m dengan kanopi padat dan sempit. Daunnya menyerupai daun pokok Acacia. Daunnya mengeluarkan bau seakan pokok teh apabila dihancurkan. Buah akan pecah untuk menyebarkan bijinya yang berwarna coklat. Bunga kecil berkrim kuning memanjang berbentuk berus botol menyebabkan ianya juga dikenali dengan nama bottle brush plant.
Pokok gelam dianggap sebagai pokok yang lasak kerana mampu menahan keadaan kemarau, angin yang kuat atau suhu panas yang melampau. Pokok gelam juga sesuai dijadikan tanaman landskap yang menarik di taman-taman.
Batang pokok gelam kurus dan kelihatan seperti berpintal disaluti kulit yang lembut tebal berwarna putih keperangan hingga kelabu dan boleh mengelupas dalam kepingan besar seperti helaian kertas yang sering disebut juga dengan nama pokok kulit kayu kertas.
Daun pokok gelam digunakan dalam menyuling cajeputi yang digunakan untuk tujuan perubatan dan antiseptik. Bagi masyarakat Malaysia daunnya digunakan untuk merawat sakit perut dan taun. Di Indonesia pula pokok ini digunakan untuk merawat luka akibat terbakar, sakit perut, kekejangan, penyakit kulit, luka dan pelbagai sakit dan penyakit. Bagi penduduk Burma, daunnya digunakan untuk merawat gout, Indochina untuk merawat penyakit sendi.
Manakala kayu pokok gelam yang berwarna merah jambu/coklat mempunyai tekstur seragam dan popular untuk digunakan untuk ukiran, membuat kabinet dan kepingan kulit kayu pokok ini banyak digunakan dalam industri membuat perahu terutama untuk penebatan diantara kepingan papan perahu.
Bagi penternak lebah madu, ia merupakan tumbuhan paling digemari pengusaha untuk memindahkan haif-haif lebah disebabkan tumbuhan ini berbunga sepanjang tahun dan boleh menghasilkan madu yang berkualiti.
Kredit sumber :
- Laman Facebook Jabatan Pertanian Malaysia
- Laman web rasmi Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) https://www.mybis.gov.my/sp/2128

hello100jutapokok@nres.gov.my