Samanea saman atau lebih dikenali sebagai pokok hujan-hujan berasal daripada Amerika Selatan dan mula ditanam di Tanah Melayu pada tahun 1876. Spesies ini telah diperkenalkan untuk penanaman di kawasan bandar seawal tahun 1900-an dan sehingga kini masih popular ditanam terutamanya di pinggir-pinggir jalan dan lebuhraya. Pokok ini mempunyai sifat yang istimewa dimana ia akan menguncupkan daun majmuknya pada waktu senja atau waktu hujan. Atas sebab itu, ia dipanggil pokok hujan-hujan.
Pokok ini dikategorikan sebagai pokok teduhan yang merupakan antara ciri-ciri utama dipilih sebagai penanaman pokok landskap di negara kita. Silara pokok hujan-hujan yang kembang seperti payung akan bertaup dan memberikan kesan seperti gerbang teduhan. Antara tempat menarik di negara kita yang ditanam dengan pokok ini adalah di Taman Tasik Taiping, Perak. Ia memberikan ciri-ciri unik dan menarik minat pengunjung.
Pokok hujan-hujan yang matang kelihatan megah namun ia akan menjadi menakutkan apabila pokok ini dipenuhi epifit atau tumbuhan tumpangan seperti paku langsuyar, paku tanduk rusa atau anggerik merpati. Bunga pokok ini bersaiz kecil, berkelompok, putih hingga ke merah jambu dan agak harum menjadikan ia lebih seram jika berjalan melaluinya pada waktu malam.
Pokok hujan-hujan mula ditanam pada tahun 1927 sebagai projek perintis dalam kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. Sehingga kini, terdapat pokok hujan-hujan yang batangnya hampir mencecah garis pusat 180 cm.
Info kredit kepada: FRIM dan Harian Metro

hello100jutapokok@nres.gov.my