Hak Cipta © 2021, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
Malaysia
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
Dikuasakan oleh MyBIS
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

Merbau - Pokok Kebangsaan Kita

Ramai dalam kalangan kita tahu bahawa bunga raya merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Bagaimana dengan pokok kebangsaan kita? Mungkin masih ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang belum mengetahui bahawa kita sudah mempunyai pokok kebangsaan.

Pada 23 Ogos 2019, pokok merbau (Intsia palembanica) telah diangkat sebagai pokok kebangsaan dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan kekayaan biodiversiti negara.

Pokok kebangsaan juga merupakan simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri, ekonomi serta kesejahteraan negara.

Idea pokok kebangsaan telah dicetuskan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama-sama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi membangkitkan semangat cintakan khazanah hutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kayu merbau merupakan kayu keras berat (heavy hardwood) yang berkualiti tinggi, tahan lama serta tahan serangan anai-anai. Ketahanan kayu pokok ini melambangkan keutuhan integriti hutan negara hasil daripada pengurusan secara lestari serta usaha pemuliharaan khazanah kepelbagaian biologi hutan Malaysia.

Ketahanannya terbukti dengan penemuan artifak-artifak purba diperbuat daripada kayu merbau di Gua Ago Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah yang berusia hampir 900 tahun dan masih berada dalam keadaan kukuh.

Pokok merbau, daripada keluarga Fabaceae, juga dikenali sebagai malacca teak, borneo teak, moluccan ironwood, ipil, kwila dan mirabow.

Spesies pokok merbau didapati secara meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia tumbuh di hutan tanah pamah terutamanya di pinggir sungai hingga ketinggian 1,000 m dari aras laut.

Ekstrak daun merbau digunakan dalam perubatan tradisional dan buah yang muda boleh dimakan setelah dipanggang dan direbus. Pokok merbau biasanya bersaiz sederhana besar hingga besar, berbatang lurus, tumbuh hingga 50 m tinggi dan berakar banir hingga 4 m tinggi.

Batang pokoknya berwarna putih keperangan. Anak daunnya tebal, berkilat serta berbentuk bujur. Bunganya berwarna putih kekuningan manakala buahnya leper, bujur panjang, licin, coklat kehitaman apabila masak dan mengandungi tiga atau lebih biji yang rata dan tebal berukuran 3-4.5 cm panjang dan 1.5-3 cm lebar.

Kayu merbau yang tahan lasak dan berharga popular digunakan sebagai bahan untuk membuat lantai, misalnya lantai kolam renang kerana ia tidak mudah rosak dan tahan kereputan. Bintik-bintik berwarna emas di sepanjang ira kayu merbau kelihatan menarik dan sesuai dijadikan pelbagai produk hiasan serta kelengkapan rumah seperti meja, kerusi dan hiasan taman.

Penghijauan Malaysia
Muat turun aplikasi peranti mudah alih Penghijauan Malaysia. Daftar pokok yang ditanam, kumpul lencana (badges) dengan laksanakan tugasan (task), dapatkan mata ganjaran (points) dan nikmati ganjaran (rewards) yang ditawarkan.
Penaja

Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tidak akan bertanggungjawab diatas maklumat yang diperolehi dari laman-laman pihak ketiga yang tidak ada perjanjian kerjasama dengan pihak kami.
Paparan terbaik melalui Mozila Firefox, Google Chrome atau Microsoft Edge terkini dengan resolusi 1024px x 768px dan ke atas. Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh diemailkan ke hello@100jutapokok.gov.my