Hak Cipta © 2024, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Malaysia
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
Dikuasakan oleh MyBIS
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

Penjagaan, pengurusan pokok di kawasan bandar perlu penglibatan semua pihak - FRIM
diterbitkan pada 17 September 2021

KUALA LUMPUR, 17 Sept -- Semua pihak perlu menitikberatkan keperluan menanam pokok-pokok atau mewujudkan kawasan hijau di bandar sebagai tanggungjawab dan
harapan bersama.

Penolong Pegawai Penyelidik Kanan (Cawangan Perhutanan Bandar) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Mohd Afendi Hussin berkata kerjasama ini penting dengan pihak dalam pelbagai disiplin termasuk perancangan bandar, kejuruteraan, arkitek, pemaju hartanah, arboris, pihak swasta, pemimpin masyarakat dan orang ramai.

Beliau berkata kehadiran pokok-pokok di kawasan bandar bukan sahaja dapat mencantikkan bandar, malah ia juga berperanan sebagai pokok ameniti atau kemudahan asas dan merupakan sebahagian daripada indeks untuk mencapai taraf kehidupan yang lebih sihat.

"Fungsi sebenar pokok-pokok di bandar tidak hanya berkisar sebagai elemen hiasan atau bersifat kosmetik semata-mata. Silara pokok yang melebar dan menaungi kawasan bandar mengurangkan kemasukan cahaya dan sinaran terik matahari.

"Keadaan ini membantu mengurangkan peningkatan suhu di bandar dan turut mengurangkan fenomena pembentukan pulau-pulau haba di kawasan bandar," katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata dengan adanya pokok-pokok rendang di taman-taman awam, ia dapat menarik pengunjung beriadah, berkelah dan menggalakkan interaksi selain membolehkan pelbagai aktiviti sihat dijalankan sekali gus membantu mengukuhkan nilai-nilai kemasyarakatan, kekeluargaan, persahabatan yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.

Bagaimanapun, Mohd Afendi yang juga ahli arboris berkata tidak semua pokok dapat tumbuh dengan sempurna atau mempunyai rupa bentuk struktur yang baik kerana
sebahagian lagi mungkin memerlukan rawatan pembaikan.

Justeru katanya sekiranya berlaku keadaan atau rupa bentuk struktur pokok yang boleh mendatangkan gangguan ataupun risiko, pokok-pokok tersebut perlu diurus mengikut amalan arborikultur yang sesuai.

"Banyak faktor menyumbang kepada kegagalan pokok antaranya ruang penanaman yang terhad, pemangkasan akar tanpa mempertimbangkan kebolehan pokok untuk menampung berat silara dan mengganggu dirian pokok, ribut, kecederaan pada tubuh batang pokok, tanah yang padat, pemangkasan yang berlebihan dan tidak cermat.

"Ia adalah sebahagian daripada punca pokok menjadi lemah, menerima tekanan, terganggu kestabilan dan mempengaruhi kesuburannya,” katanya.

Namun, beliau berkata sekiranya penanaman pokok dirancang dan dilaksanakan dengan baik, pokok-pokok tersebut berupaya untuk terus tumbuh tinggi dan menjadi lambang kelestarian persekitaran serta kehidupan sekali gus memberikan pelbagai fungsi bermakna untuk masyarakat.

Menurutnya, penjagaan pokok melalui amalan terbaik arborikultur boleh membantu menjadikannya lebih sihat, subur, selamat serta mengurangkan risiko kegagalan sekali gus membolehkan pokok-pokok itu hidup lebih lama di kawasan bandar.

Menjelas lanjut, Mohd Afendi berkata arboris berperanan memberikan perkhidmatan dalam semua aspek penjagaan pokok merangkumi pemilihan spesies, penanaman, pemangkasan, pengurusan risiko, pemindahan pokok, pencegahan kerosakan sebelum kerja-kerja pembangunan serta pengurusan kesuburan pokok, terutamanya di bandar.

"Peranan arboris kian mendapat perhatian di negara kita dan ini merupakan perkembangan yang positif kerana masyarakat kini memahami akan peri pentingnya menjaga alam sekitar termasuklah pokok," katanya.

Sumber: BERNAMA

Dasar Perhutanan Malaysia
Dasar ini akan merangkumi pengurusan hutan secara berkekalan, pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian biologi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, mengaplikasi teknologi perhutanan terkini, memperkasa penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian maklumat.
ISBN 9789670250403   •   Kementerian Tenaga dan Sumber Asli   •   2021
Penghijauan Malaysia
Muat turun aplikasi peranti mudah alih Penghijauan Malaysia. Daftar pokok yang ditanam, kumpul lencana (badges) dengan laksanakan tugasan (task), dapatkan mata ganjaran (points) dan nikmati ganjaran (rewards) yang ditawarkan.
Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak akan bertanggungjawab diatas maklumat yang diperolehi dari laman-laman pihak ketiga yang tidak ada perjanjian kerjasama dengan pihak kami.
Paparan terbaik melalui Mozila Firefox, Google Chrome atau Microsoft Edge terkini dengan resolusi 1024px x 768px dan ke atas. Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh diemailkan ke hello100jutapokok@nres.gov.my