Hak Cipta © 2024, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam Program Penghijauan Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Malaysia
#PokokKitaKehidupanKita
#OurTreesOurLife
Dikuasakan oleh MyBIS
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

FRIM tawar khidmat perundingan, latihan dalam kultur tisu
diterbitkan pada 09 September 2021

Dr Nor Hasnida Hassan

KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menawarkan khidmat perundingan dan latihan berkaitan kemahiran asas mengenai kultur tisu bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutamanya usahawan dalam bidang tersebut.

Ketua Program Bioteknologi, Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM Dr Nor Hasnida Hassan berkata kaedah kultur tisu itu semakin dikenali untuk penghasilan bahan tanaman seragam, berkualiti tinggi dan bebas penyakit serta untuk menghasilkan anak pokok dalam jumlah yang banyak.

Beliau berkata kultur tisu merupakan satu kaedah aseptik pembiakan tanaman dengan menggunakan bahagian vegetatif tumbuhan di bawah keadaan terkawal.

"Teknologi kultur tisu sebagai satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap di dalam makmal bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan seperti daun, batang, pucuk atau sel dikulturkan dalam media nutrien di bawah keadaan yang steril dan terkawal untuk tumbesaran anak pokok.

"Teknik penghasilan anak pokok daripada tisu tumbuhan menggunakan medium nutrien ini mampu menghasilkan anak pokok yang serupa dengan pokok asalnya atau pokok induk dalam masa singkat, malah kualitinya turut terjamin," katanya dalam kenyataan dikeluarkan FRIM.

FRIM merupakan agensi kerajaan yang giat menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan teknologi kultur tisu, selain mempunyai komitmen dalam pemuliharaan, latihan, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan bahan tanaman.

FRIM juga membangunkan makmal pertama untuk kultur tisu pada Disember 1984 sebelum operasi makmal itu dikembangkan kepada pengeluaran komersial spesies hutan
dengan pembentukan Unit Kultur Tisu pada awal 1990-an.

Pada peringkat awal penubuhan makmal kultur tisu itu disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan benih pokok hutan yang serupa dengan induk untuk program penghutanan semula dan kultur tisu dilihat sebagai satu teknik terbaik bagi menyelesaikan masalah berkenaan ketika itu.

Dalam pada itu, FRIM turut menawarkan bengkel pengkulturan tisu tumbuhan untuk memperkenalkan pengetahuan am tentang kultur tisu bagi tumbuhan, menjelaskan teknik pensterilan dan penyediaan media kultur tisu serta latihan komprehensif di makmal bagi tumbuhan sehingga kepada pengikliman anak pokok di nurseri.

Program tersebut adalah platform terbaik dalam memberi pendedahan berkaitan kultur tisu dari segi teknik, aplikasi komersial dan potensi perniagaan yang boleh diwujudkan.

Sementara itu, Nor Hasnida berkata penggunaan teknologi kultur tisu adalah antara teknik terbaik berbanding teknik pembiakan lain bagi mendapatkan anak pokok yang serupa dengan induk.

Beliau berkata penghasilan anak pokok menggunakan teknik kultur tisu bukan sahaja terpakai untuk tanaman pertanian, malah ia juga digunakan untuk membiak tumbuhan hiasan dan pemuliharaan pokok hutan terutama spesies yang berdepan kepupusan.

Beliau bagaimanapun berkata teknik kultur tisu memerlukan makmal sebagai lokasi asas untuk membuat proses kultur tisu yang dilengkapi dengan peralatan khas.

"Kami juga menyediakan latihan bagi kultur tisu mengikut jenis tanaman berbeza, selain latihan sebagai input awal bagi mereka yang berminat melaksanakan projek pertanian
moden atau nurseri kultur tisu. Bengkel kultur tisu ini dijalankan di Pusat Biousahawan Bioteknologi.

"Selain itu, pusat ini juga mempunyai makmal kultur tisu lengkap yang sedia untuk disewa oleh usahawan bioteknologi berminat," katanya.

Sumber: BERNAMA

Dasar Perhutanan Malaysia
Dasar ini akan merangkumi pengurusan hutan secara berkekalan, pemuliharaan dan perlindungan kepelbagaian biologi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, mengaplikasi teknologi perhutanan terkini, memperkasa penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian maklumat.
ISBN 9789670250403   •   Kementerian Tenaga dan Sumber Asli   •   2021
Penghijauan Malaysia
Muat turun aplikasi peranti mudah alih Penghijauan Malaysia. Daftar pokok yang ditanam, kumpul lencana (badges) dengan laksanakan tugasan (task), dapatkan mata ganjaran (points) dan nikmati ganjaran (rewards) yang ditawarkan.
Penafian: Kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak akan bertanggungjawab diatas maklumat yang diperolehi dari laman-laman pihak ketiga yang tidak ada perjanjian kerjasama dengan pihak kami.
Paparan terbaik melalui Mozila Firefox, Google Chrome atau Microsoft Edge terkini dengan resolusi 1024px x 768px dan ke atas. Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh diemailkan ke hello100jutapokok@nres.gov.my