Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik, Bahagian Bodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan jayanya telah menganjurkan Program Penghijauan Malaysia Melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER). Sekolah ini terpilih sebagai lokasi program penanaman pokok pada tahun ini kerana berhampiran dengan FRIM dan khususnya melibatkan penyertaan pelajar-pelajar asrama dalam menjaga pokok angkat mereka. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 22 Jun 2024 bersekali dengan Program Gotong-royong Madani yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Objektif utama Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini adalah untuk meningkatkan kesedaran semua pihak terutamanya komuniti masyarakat mengenai kepentingan kawasan litupan hijau kepada kualiti hidup. Selain itu, kempen ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menambahbaik ekosistem dan kepelbagaian biologi di negara kita.
Program penanaman pokok yang dijalankan di Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER) ini telah dirasmikan oleh Ketua Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik (PULIH), Dr. Hamidah binti Mamat dan melibatkan penyertaan Pengetua sekolah, Tn. Hj Eadil bin Mat, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Hjh Noraini binti Jasman serta beberapa orang guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan pelajar-pelajar lelaki Tingkatan 3. Demo dan taklimat aktiviti penanaman pokok telah disampaikan oleh Encik Muhammad Alif Azyraf bin Azmi dan Encik Tan Kok Kiat dari Cawangan PULIH. Sebanyak 83 batang anak pokok telah disumbangkan oleh FRIM kepada pihak sekolah. Pokok-pokok tersebut terdiri daripada pokok buah-buahan nadir, pokok landskap dan pokok herba seperti berikut:
1. Sentul (Sandoricum koetjape)
2. Kerian dot (Syzygium claviflorum)
3. Jambu bol (Syzygium malaccense)
4. Rambai tiung (Baccaurea ramiflora)
5. Petai (Parkia speciosa)
6. Kayu manis (Cinnamomum verum)
7. Jambu Jepun
8. Kelat nasi (Syzygium zeylanicum)
9. Sekiat/Keriat (Aglaia korthalsii)
10. Avocado (Persea Americana)
11. Bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis)
12. Tongkat Ali (Eurycoma longifolia)
13. Kacip Fatimah (Labisia pumila)
14. Tecoma
15. Bungor
16. Chicha
Penanaman pokok Bunga Raya di dalam pasu oleh Ketua Cawangan PULIH, Dr. Hamidah binti Mamat dan Pengetua sekolah SAMER, Tn Hj Eadil bin Mat telah dijadikan sebagai gimik perasmian bagi program tersebut.
hello100jutapokok@nres.gov.my